PROGRAM TERKINI

KURSUS FALAK ASAS (PENENTUAN ARAH KIBLAT)

BIL.1 SIRI 1/2014
  • ANJURAN: CAW.AGAMA
  • TARIKH : 16-18 JUN 2014
  • TEMPAT : PUSAT AL-KHAWARIZMI MELAKA
  • * Nantikan kemunculan program yang ditunggu-tunggu tahun 2014 ini. Jangan ketinggalan. Terima Kasih. Harap Maklum.

    Rabu, 15 Ogos 2012

    ADAB-ADAB MENYAMBUT HARI RAYA IDULFITRI

    Banyak fadhilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh syarak untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa-apa jua bentuk kebajikan.

    1. Berdoa di malam raya - Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

    2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri - Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagungan Nya dengan mengucapkan takbir.

    3. Mandi Sunat Aidilfitri - Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadis ini
    dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

    4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok - Disunatkan memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya: Maksudnya: "Bahawasanya SAW memakai kain yang bergaris-garis (untuk diselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya." (Hadis riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

    5. Makan terlebih dahulu (seelok-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil) - Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata: Maksudnya: "Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

    6. Mengucapkan tahniah - Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan: Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerima Nya daripada awak." Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi SAW) telah berkata (maksudnya): "Sahabat-sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain: Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerima Nya daripada awak." Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.

    7. Ziarah menziarahi - Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

    8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman - Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan