PROGRAM TERKINI

KURSUS FALAK ASAS (PENENTUAN ARAH KIBLAT)

BIL.1 SIRI 1/2014
  • ANJURAN: CAW.AGAMA
  • TARIKH : 16-18 JUN 2014
  • TEMPAT : PUSAT AL-KHAWARIZMI MELAKA
  • * Nantikan kemunculan program yang ditunggu-tunggu tahun 2014 ini. Jangan ketinggalan. Terima Kasih. Harap Maklum.

    Jumaat, 26 Oktober 2012

    SEMINAR PEMAHAMAN KONSEP ASAS PEMBINAAN KELUARGA MUSLIM



    RABU 24 OKTOBER 2012 - Alhamdulillah sekali lagi Cawangan Agama, BAKA MTPDRM telah berjaya menganjurkan satu seminar berkonsepkan kekeluargaan Islam. Seminar Pemahaman Konsep Asas Pembinaan Keluarga Muslim Bil.1 Siri 1/2012 ini diadakan separuh hari bermula dari jam 8.00pagi hingga 1.00petang. Seminar ini dihadiri oleh seramai lebih daripada 100 orang yang terdiri daripada pegawai, APR, dan pegawai awam dari Maktab Teknik PDRM, Pulapol Muar, dan PGA Batalion 6 Muar.

    Objektif seminar ini adalah pertamanya memberi kefahaman tentang konsep asas pembinaan keluarga dalam Islam. Keduanya adalah untuk melahirkan warga PDRM yang mampu mempraktikkan teori dan pendekatan pembinaan keluarga bahagia. Manakala objektif terakhirnya adalah menjadikan Islam sebagai panduan hidup berkeluarga.

    Seminar Pemahaman Konsep Asas Pembinaan Keluarga Muslim ini diisi dengan dua ceramah berbeza. Ceramah pertama dimulakan oleh penceramah jemputan dari Unit Pembangunan Keluarga, Pejabat Kadi daerah Muar iaitu Ustaz Ariffin Bin Mat Yunan. Beliau yang mempunyai banyak pengalaman mengendalikan kursus perkahwinan dan kes-kes rumahtangga, membawa ceramah bertajuk Konsep Perkahwinan Dalam Islam. Ceramah ini menyentuh tentang matlamat dan tujuan utama perkahwinan, mengetahui mengapa perlu berkahwin dan bagaimana menjaga hubungan pasangan hingga akhir usia.

    Ceramah kedua pula menyentuh tentang Peranan Akidah dan Ibadah Dalam Kehidupan Keluarga Muslim. Ceramah ini disampaikan oleh penceramah jemputan khas iaitu Tuan Kadi daerah Ledang, As-Syeikh Haji Sulaiman Bin Maidin. Akidah dan ibadah memang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan keluarga muslim kerana kedua-duanya adalah tunggak utama untuk mencapai kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga didunia dan akhirat.

    Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini terutama kepada pegawai jemputan iaitu Supt. Kamaruddin Bin Kutik (Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik MTPDRM) kerana sudi hadir di majlis ilmu ini. Semoga segala ilmu yang diperolehi daripada seminar ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi mencapai matlamat keluarga muslim yang bahagia dan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. Insyaallah..

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan